Idea memperkenalkan hotel menggunakan pesawat jenis Boeing 737-400 oleh dua beranak iaitu Young Yeong Long dan Kevin Young Thien Sheng dipercayai yang pertama seumpamanya di negara ini.
Kerja memindahkan pesawat terbabit telah pun dibuat dan dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun 2020. Walaupun dikatakan kos idea terbabit agak mahal, mereka bercadang akan membina hanya lima buah bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat itu bagi menjamin keselesaan pengunjung.
Menurut Kevin, pesawat terbabit terpaksa dipotong beberapa bahagian supaya mudah dipindahkan. Selain terpaksa membuat jalan khas dan memotong beberapa pokok supaya memboleh pesawat terbabit dimasukkan ke kawasan resort, pihaknya juga terpaksa menggunakan lima buah treler dan dua buah kren untuk mengangkat pesawat terbabit.
Kevin“Kerja yang paling sukar ialah membawa pesawat dari Selangor ke sini. Kami perlu memotong pesawat kepada beberapa bahagian, menyewa lima buah treler dan dua buah kren untuk mengangkat pesawat pada awal bulan Mei”.
Anak beranak ini mengambil masa selama dua bulan untuk merancang ‘perjalanan’ pesawat itu ke kawasan resort supaya tidak mengganggu aliran trafik.
Walaupun belum beroperasi lagi, kawasan resort terbabit menjadi tular dan orang ramai datang untuk melihat sendiri pesawat terbabit.
Menyingkap kembali ketika bagaimana mereka mencari pesawat tersebut, Kevin memberitahu mereka mengambil masa 2 tahun sahaja untuk mencari pesawat yang ingin dilupus tetapi dalam masih keadaan yang baik.
Ada juga yang mencadangkan supaya beliau membina bangunan berbentuk kapal terbang kerana kosnya lebih murah.
Untuk menjamin idea mereka untuk jangka masa panjang, mereka sedang mendaftarkan jenama hotel kapal terbang itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kerana berhasrat mahu membuka hotel dengan konsep serupa di lokasi berbeza.
Sumber: Bernama