Malaysia Airlines Dapat 4 Tawaran Daripada Anak Tempatan Untuk Pemulihan

Pelbagai spekulasi kini menghantui Malaysia Airlines akibat daripada kemerosotan syarikat terbabit dalam pengurusan yang menyebabkan kerugian.

Sebelum ini, antara cadangan yang dikemukakan oleh Khazanah adalah menggabungkan dengan Air Asia. Umum ketahui Air Asia mendapat pilihan pertama sebagai Syarikat Penerbangan Kos Rendah di Anugerah Penerbangan Terbaik Skytrax baru-baru ini.

Terbaru, Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Malaysia Airlines untuk menghentikan semua penerbangan mereka untuk mengelakkan lagi kerugian berterusan dan seterusnya dapat menjimatkan kos operasi.

“Banyak sudah usaha telah dibuat untuk memulihkan MAS sejak ia ditubuh, pengurusannya telah ditukar berkali-kali, masing-masing janji mereka dapat pulihkan syarikat penerbangan itu semula, tetapi malangnya semuanya tak dapat atasi masalah yang dihadapi MAS”.

Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan tiada pembuangan pekerja jika rancangan untuk memberhentikan penerbangan itu dilakukan.

Tambah beliau lagi, identiti Malaysia akan dikekalkan dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan itu.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan menerima 4 tawaran yang majoritinya daripada anak tempatan untuk mengambil alih Malaysia Airlines. Namun identiti mereka tidak didedahkan buat masa ini.

Walaubagaimanapun, keputusan muktamad mengenai pelan pemulihan Malaysia Airlines masih lagi belum ditentukan.

Sumber: Free Malaysia Today