Beri Cuti Tanpa had Kepada Pekerja, Syarikat Ini Yakin Beri Impak Kepada Produktiviti
Masih bekerja tapi dapat cuti tanpa had dalam setahun? Kebiasaannya rata-rata syarikat di Malaysia hanya akan memberikan cuti sebanyak 16 ke 18 hari setahun sekiranya pekerja masih bekerja di bawah 5 tahun.
Namun, syarikat daripada New Zealand ini menawarkan cuti yang luar biasa kepada pekerjanya iaitu minimum sekurang-kurangnya pekerjanya perlu mengambil empat minggu setiap tahun. Maksimum cuti yang boleh diambil pula adalah tanpa had. Malah cuti sakit juga akan dibayar oleh majikan.
Syarikat Rocketwerks meletakkan peraturan itu adalah demi memastikan pekerjanya dapat bekerja pada produktiviti yang terbaik kepada syarikat. Strategi itu dikatakan dapat membantu syarikat menarik ramai kakitangan berkebolehan dan berdaya saing.
Ketua Eksekutifnya, Dean Hall sendiri memberi kepercayaan yang penuh kepada kakitangannya untuk melaksanakan projek bernilai jutaan Pound. Bukan itu sahaja, pekerjanya juga ditawarkan gaji tahunan secara purata kira-kira 40,000 Pound Sterling (RM215,468).
“Semua idea ini dipengaruhi pengalaman sewaktu saya berkhidmat dengan tentera. Pekerja sebenarnya adalah aset terhebat,”
ujarnya seperti yang dipetik dari portal gaya hidup Australia, Happy Mag.
Konsep yang tidak ortodoks itu mungkin membuatkan sesiapa sahaja membayangkan sebuah pejabat yang kosong dan sasaran syarikat yang tidak terlaksana. Namun, selepas dipantau, konsep tersebut terbukti dapat meningkatkan hasil kerja selain menggalakkan autonomi dan kesan positif dalam pasukan kerja.
Tambah Hall lagi, idea sebegini memberi kelebihan kepada pekerjanya menguruskan hal peribadi tertentu yang boleh menjejaskan tumpuan kerja. Menurut beliau, para pekerja diberi kebebasan untuk perkara di luar pejabat supaya mereka mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan.
Sumber: Astro Awani