Hukum Solat Terawih Online, Bagaimana Jika Sedang Solat Internet Terputus?

Disebabkan perlaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu, rakyat Malaysia perlu melakukan penjarakan sosial termasuk tidak boleh berkumpul di sesuatu kawasan termasuk tempat ibadat seperti masjid.

Oleh itu, banyak aktiviti dilakukan secara atas talian antaranya ialah bekerja dari rumah, kelas pengajian termasuk juga akad nikah. Namun timbul persoalan mengenai solat terawih secara atas talian, adakah dibolehkan?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpandangan bahawa solat tarawih secara dalam talian tidak dibolehkan.

Ini kerana, syarat solat berjemaah adalah individu iaitu imam dan makmum semestinya secara fizikalnya boleh dilihat, berada di satu tempat yang sama dan mengetahui pergerakan imam.

Sebagai contoh, jika solat terawih secara berjemaah dilakukan secara atas talian bagaimana makmum boleh mengikuti pergerakan imam sekiranya talian internet terputus?

Beliau menggalakkan umat Islam menunaikan solat terawih secara berjemaah di rumah masing-masing dengan diimamkan oleh ketua keluarga masing-masing.

Selain daripada isu solat terawih, pembayaran zakat atas talian juga dibincangkan di dalam satu Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang.

Menurutnya, sistem pembayaran atas talian akan disertakan doa di dalam resit buat para pembayar seperti pembayaran zakat secara fizikal di mana amil akan membaca doa selepas akad dibuat.

Sumber: Sinar Harian