Thailand Masih Larang Penerbangan Antarabangsa Sehingga Penghujung Jun

Walaupun beberapa negara seperti Iceland dan Switzerland bakal melonggarkan sekatan sempatan mulai Jun ini, Thailand mengambil pendekatan yang berlainan dengan mengekalkan sekatan sempadan sehingga penghujung Jun.

Larangan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 dari luar ke negara terbabit. Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT), negara terbabit kekal melarang sebarang penerbangan antarabangsa sehingga 30 Jun.

Walau bagaimanapun larangan terbabit dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan ataupun bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.

“Larangan ke atas penerbangan penumpang antarabangsa ke Thailand akan disambung dari 1 Jun 17.00 UTC ke 30 Jun 17.00 UTC. Kesemua kebenaran yang telah diberikan pada tempoh tersebut akan dibatalkan”

– Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop

Tambahannya lagi, penumpang yang tiba menggunakan penerbangan yang dikecualikan adalah tertakluk kepada langkah-langkah di bawah Undang-Undang Penyakit Berjangkit, seperti kuarantin 14 hari, dan peraturan di bawah perintah kecemasan bagi negara di bawah dekri darurat.

Sebelum ini larangan tersebut dilanjutkan daripada 4 April ke 6 April, kemudian disambung ke 18 April, 30 April dan 31 Mei sebelum dilanjukan kepada tarikh yang terbaru iaitu 30 Jun.

Sejak 1 Mei, lima syarikat penerbangan telah memulakan semula penerbangan domestik di 17 lapangan terbang di Thailand.

Untuk rekod sehingga semalam, Thailand mencatat jumlah kes keseluruhan 3,025 dengan 56 kematian. Walaupun statistik menunjukkan situasi jangkitan COVID-19 di Thailand bertambah baik sejak pertengahan April, Thailand masih meneruskan dekri darurat sehingga 31 Mei.

Sumber: Astro Awani