Terengganu Kini Zon Hijau Bebas COVID-19
Selepas negeri Perlis dan Kelantan menjadi negeri terawal diisytihar zon hijau, kini negeri Terengganu pula menyusuli selepas semua daerahnya tiada lagi kes COVID-19 dicatatkan.
Mangsa terakhir yang menerima rawatan di Hospital Kuantan telah dibenarkan pulang Rabu lalu.
Berdasarkan rekod, negeri itu mencatatkan sebanyak 111 kes jangkitan COVID-19 menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
“Seperti mana kita telah ketahui dan dimaklumkan secara rasmi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bahawa Terengganu telah bebas COVID-19 dan diisytiharkan Zon Hijau yang mana kes terakhir iaitu kes 111 yang mana kes berasal dari Kemaman dimasukkan ke Hospital Kuantan dan telah didiscaj,”
kata Che Adam.
Walaupun telah bebas COVID-19, kesemua jawatankuasa peringkat negeri dan daerah diingatkan untuk berada dalam keadaan bersiap sedia dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tambah beliau lagi, orang ramai juga perlu patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dikuatkuasakan.
Sumber: Astro Awani