Lebih Banyak Pusat Pelancongan Dibuka Di Thailand

Walaupun masih menutup sempadannya kepada luar sehingga penhujung Jun, Thailand mula melonggarkan sekatan pergerakan dan perintah berkurung kepada rakyatnya dengan membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi di bawah fasa ketiga pelonggaran sekatan bermula Isnin ini.

Sebelum ini Thailand telah pun melonggarkan sekatan fasa pertama kepada rakyatnya bermula pada 3 Mei dan kelonggaran sekatan fasa kedua pada 17 Mei.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jeneral Somsak Rungsita berkata tempoh perintah berkurung yang ketika ini dari 11 malam hingga 4 pagi, akan dipendekkan selama sejam, kepada dari 11 malam hingga 3 pagi.

Pusat beli-belah pula akan dibenarkan untuk melanjutkan waktu operasi dari jam 8 malam hingga 9 malam bermula Isnin.

Melihat kepada situasi jangkitan COVID-19 yang semakin bertambah baik, kerajaan Thailand bakal membenarkan premis seperti pusat spa dan urut, pawagam dan teater, zoo, pusat pameran, gimnasium dan kelab kecergasan dibuka semula namun dengan perlaksanaan perjarakan sosial yang ketat dan mengehadkan jumlah pengunjung.

Tambah beliau lagi, stadium bola sepak, bola tampar, bola keranjang dan futsal juga akan dibuka semula tetapi hanya untuk tujuan latihan dengan jumlah penyokong yang terhad.

Pelonggaran ini tidak lain tidak bukan untuk merancakkan kembali ekonomi negara terbabit selain daripada mengelakkan pengangguran kira-kira 8.4 juta pekerja di negara itu akibat pandemik COVID-19.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menyusut 1.8 peratus pada suku pertama 2020 berbanding tempoh sama 2019 setelah pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pelancongan dan mengurangkan aktiviti perniagaan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand melaporkan 11 kes baharu COVID-19, namun tidak ada kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam,

Berdasarkan statistik jangkitan COVID-19, Thailand merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak 3,083 kes jangkitan dan hanya 58 kes kematian. Walaupun melaporkan 1 kes baharu COVID-19, namun tidak ada kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Sumber: Astro Awani