Tiada Cadangan Selamatkan Malaysia Airlines

Umum ketahui kebanyakan syarikat industri pelancongan terjejas teruk akibat daripada krisis wabak COVID-19 yang melanda dunia kini. Sehinggakan kebanyakan syarikat besar Genting Malaysia dan AirAsia terpaksa membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi.

Selain daripada Genting dan AirAsia, Malaysia Airlines juga terjejas ekoran daripada krisis wabak COVID-19, penutupan sempadan dan perlaksanaan PKP di Malaysia.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bagi membantu ekonomi negara yang terjejas teruk, tiada pelan disediakan oleh kerajaan untuk membantu Malaysia Airlines.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana Malaysia Airlines merupakan syarikat yang beroperasi sebagai entiti komersial.

“Kerajaan dan Kementerian Kewangan tidak ada cadangan untuk memberikan peruntukan bagi membantu syarikat penerbangan itu tetapi ada bantuan untuk industri penerbangan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Zafrul juga turut menafikan Khazanah Nasional Berhad (Khanazah) akan menyuntik dana RM5 bilion kepada MAB kerana tiada perbincangan langsung oleh Ahli Lembaga Pengarah Khazanah mengenai perkara itu.

Malaysia Aviation Group (MAG) turut menafikan laporan berkaitan suntikan dana sehingga RM5 bilion kepada MAB.

Sumber: Harian Metro