Taman Tema Harry Potter Bakal Menyusul Di Tokyo Pada Tahun 2023

Pada masa ini, Jepun sudah pun mempunyai tiga taman tema popular iaitu Disneyland, Legoland dan Universal Studio. Bagi peminat taman tema, ini berita baik untuk anda. Jepun bakal menyusul dengan taman tema baru iaitu Taman Tema Harry Potter pada tahun 2023.

Menurut portal berita Kyodo News, Taman Tema Harry Potter akan dibangunkan dan dijangka siap pada 2023 menggantikan Taman Tema Toshimaen yang sudah pun berusia 94 tahun di Nerima.

Apa yang menarik, dilaporkan juga Taman Tema Harry Potter ini akan menyerupai Warner Bros. Studio Tour di London di mana pengunjung dapat melihat set produksi, berada dekat dengan alat peraga seperti tongkat dan ramuan, dan menyusuri jalan Diagon Alley Shopping Street.

Bagi yang belum tahu, Taman Toshimaen merupakan salah satu taman tema paling lama dan telah beroperasi sejak tahun 1926. Penutupan taman tema pasti menjadi kenangan manis masa kecil kepada yang pernah ke sini.

Namun, perkembangan baru ini pasti akan menggembirakan generasi baru yang meminati Harry Potter.

Sumber: Time Out