Premium Outlet Bakal Dibuka Di Perak Dengan Berkonsep Nature, Dikeliling Tasik
Premium Outlet adalah satu pusat beli belah yang mengumpulkan jenama-jenama terkenal di dalam satu bangunan. Ianya bukanlah satu konsep baru di Malaysia kerana sudah ada dua premium outlet di buka.
Selain Johor dengan Johor Premium Outlet (JPO) dan Genting dengan Genting Premium Outlet (GPO), Kini Perak pula bakal menyusul dengan premium outlet terbaru iaitu Silverlakese Brand Village Outlet dengan konsep yang sangat unik.


Dibina di atas kawasan seluas 13.35 hektar dengan keluasan 37,161 meter persegi di Batu Gajah, lokasi Silverlakes Brand Village Outlet ini bakal dikelilingi dengan tasik dan alam semula jadi.
Lokasinya yang sangat strategik kerana berdekatan dengan simpang susur keluar Simpang Pulai, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Malah, ia juga terletak berhadapan dengan perkhidmatan stesen KTMB Batu Gajah yang menawarkan akses mudah dari Lembah Klang dan Pulau Pinang, sekali gus memudahkan masyarakat tempat dan pelancong luar untuk datang ke sini.
Selain daripada pembangunan premium outlet ini, projek pembinaan hotel, kediaman mewah dan villa tepi tasik juga bakal menyusul mengikut fasa.

Walaupun terdapat isu mengenai pembinaannya akan menjejaskan kawasan taman burung yang dilaporkan menjadi habitat kepada lebih 150 jenis burung air di situ, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dakwaan terbabit adalah tidak berasas.
“Kerajaan negeri juga cintakan alam sekitar dan premium outlet ini dijangka siap pada akhir tahun ini untuk memudahkan orang ramai membeli-belah,”
katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gotong- Royong Bersepadu Antara Agensi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat.
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pembinaan premium outlet itu diyakini tidak memberi kesan kepada taman burung berkenaan kerana secara teknikal ia terletak agak jauh dan bukannya terletak bersebelahan.
Tambah beliau lagi, pelan dan kebenaran pembinaan projek berkenaan juga telah diluluskan mengikut spesifikasi.
Dikatakan Silverlakes Brand Village Outlet ini bakal dibuka pada akhir tahun ini. Sama-sama kita nantikan
Sumber: BERNAMA