Walaupun kebanyakan negara sudah pun membuka sempadan kepada warga asing, Thailand bagaimanapun akan tetap menutup sempadan mereka sehingga penghujung tahun 2020.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Gabenor bagi Perbadanan Pelancongan Thailand (TAT), Chattan Kunjara Na Ayudhya sendiri ketika sidang webinar yang dianjurkan oleh Mekong Tourism dan TravelMole.
Menurut beliau belum ada lagi perbincangan berkenaan tarikh untuk membuka sempadan Thailand. Kerajaan Thailand mengambil langkah berhati-hati dalam isu pembukaan sempadan bagi aktiviti pelancongan dan beliau merasakan sempadan tidak akan dibuka sehingga tahun 2021.
“Saya tidak lihat sebarang petanda bahawa sempadan negara akan dibuka tahun ini. Ia akan memberi tekanan yang hebat kepada industri pelancongan Thailand”
Penutupan pintu sempadan ini pastinya akan menjejaskan sambutan Hari Krismas dan juga sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun hadapan kerana ketiadaan pelancong luar.
Walaupun pada awalnya ada perancangan untuk membuka sempadan kepada kelompok pelancong dari beberapa negara, namun ianya tidak dibincangkan kerana wabak COVID-19 masih belum reda di negara terbabit.
Namun begitu, kumpulan yang dibenarkan masuk kembali ke Thailand kini telah diperluaskan dari diplomat dan pegawai-pegawai Bangsa-Bangsa Bersatu kepada ahli perniagaan, pelabur berdaftar dengan kerajaan, kru filem, pekerja asing, petugas pameran dan pemegang visa Thailand Elite.
Namun begitu mereka masih perlu melalui tempoh kuarantin selama 14 hari.
Sumber: The Thaiger