fbpx

Solo?Apa ada hal! Wanita Ini Kongsi Pengalaman Solo Trip Ke Dua Pulau Popular Di Terengganu.

Ahmad Suhael

Percutian ke pulau seringkali dibayangkan percutian ramai bersama kumpulan atau keluarga, percutian santai menikmati keindahan laut biru dan persisir pantai bersama-sama. Namun solo trip ke pulau juga sebenarnya tidak kurang menjanjikan seribu satu kelainan. Satu laut namun cerita berbeza.

Ini coretan pengalaman saya solo trip ke Pulau Redang dan Perhentian selama lima hari.

Bermula dengan Pulau Redang.

Dari Kedah ke Kuala Terengganu dengan bus, perjalanan mengambil masa hampir 11 jam, memandangkan minggu berkenaan adalah cuti Hari Raya Aidiladha, jadi perkara begini sudah dijangka. Sampai di Stesen Bus Kuala Terengganu, dua pilihan untuk ke Merang Jetty adalah menggunakan bus atau perkhidmatan Grab. MyBAS bergerak setiap satu jam (7 pagi, 8 pagi, 9 pagi dan berikutnya).

Di Pulau Redang saya hanya ambil ‘day trip’. Pakej Day Trip dengan MerangJetty boleh didapati di website, pakej berharga RM99 termasuk bot pergi dan balik, snorkeling di lima pulau dan makan tengahari. Masa snorkeling trip, disebabkan saya solo, boatmen sangat-sangatlah membantu.

Kebetulan ada kumpulan pelancong luar, dan saya diminta untuk menjadi jurubahasa mereka. Mungkin disebabkan itu, waktu snorkeling, boatmen bermurah hati bawa saya turun menyelam di setiap point. Coral di Pulau Redang teramatlah cantik, dengan air yang sangat jernih. Pertama kali dapat menyaksikan dengan mata sendiri ‘baby shark’, kata boatmen, ada sesetengah pelancong sanggup bayar sehingga beratus ringgit kepada krew boat sekiranya boleh bawa mereka berenang bersama ‘baby shark’. Tersenyum saya beberapa ketika ‘rezeki aku’.  

Namun ada juga cerita sedih. Gopro saya masuk air di snorkeling point pertama (turtle point), jadi tiada gambar-gambar underwater di Redang. Namun kedukaan saya sedikit terubat apabila saya bertemu dua orang kawan baru di atas bot, yang kebetulannya juga datang dari Kedah, jadi gambar saya di Pulau Redang kebanyakannya dari kamera mereka. Lebih manisnya kawan baru saya juga sempat merakamkan video saya berlari-lari riang di Sand Bank, Pulau Kerengga menggunakan drone. Sand Bank ini adalah salah satu pit stop di dalam pakej snorkeling tapi bot hanya singgah di sini untuk bergambar.

Kurang lebih 7 jam di laut, saya pulang ke darat melalui jeti yang sama. Hati terasa berat, Pulau Redang, you are spectacular. Saya seterusnya ke Kuala Besut dengan van persiaran. Memandangkan cuaca ketika itu mendung dan hujan memberi isyarat awal, saya bersetuju menyewa sebiji van persiaran hanya untuk saya sorang, RM100 untuk hampir dua jam perjalanan.

Di Kuala Besut, saya menginap di EZ Budget Hotel, di atas klinik 1 Malaysia Kuala Besut dengan harga RM50. Malam itu tidur saya beralaskan mimpi keindahan birunya laut Redang.

Keesokan hari nya, Hari Raya Aidiladha. Saya memulakan acara dengan berjalan kaki ke Jeti Kuala Besut. Tiket pergi dan balik ke Pulau Perhentian sudah ditempah terlebih awal. Jam 10 pagi bot berlepas ke Pulau Perhentian, hujan renyai-renyai. 45 minit selepas itu saya tiba di Long Beach, Pulau Perhentian. Mendengar deruan ombak laut sudah cukup menenangkan hati saya yang ketika itu sedikit celaru “ ramai orang sini, boleh ka aku survive sorang-sorang ni”.

Di Long Beach, saya pilih untuk tidur di campsite ‘Syukur Campsite’ (RM30/malam). Tapak kem ini hanya beberapa langkah ke pantai. Ketibaan saya disambut mesra oleh staff campsite yang saya panggil ‘mat yie’, ramah orangnya. Saya simpan beg di dalam khemah, terus saya berlari menuju pantai. Bahagia!

Dua jam berjemur dan mandi laut, saya pulang ke campsite. Saya disapa oleh dua orang yang kebetulan berada di hadapan kem. Siapa sangka, a simple hello leads us to a new friendship! Petangnya saya dibawa hiking ke kincir angin. Lebih 30 minit mendaki, penat hilang melihat keindahan laut dan langit biru dari atas puncak bukit Pulau Perhentian Kecil. Terasa segala masalah disapa pergi bersama angin sepoi-sepoi. Ini bukan sekadar metafora bahasa, tapi benar saya tidak pernah berasa setenang itu. Melihat dunia dari sudut yang berbeza sekali, saya tinggalkan sedikit memori dari puncak bukit itu untuk saya kenang suatu hari nanti.

Keesokannya Hari Raya Aidiladha, pagi raya saya disambut dengan jemputan oleh kawan-kawan baru untuk menikmati ketupat yang dibawa khas dari Kampung Nelayan. Berbeza ketupat di sini dari yang selalu dimakan di Kedah, seperti bezanya perasaan saya hari itu juga. Beza tapi manisnya tetap ada.  

Petang itu saya diajak ke laut untuk memancing bersama dengan pemilik kem dan beberapa orang kakitangan dan kenalan beliau. Ini adalah pengalaman pertama kali saya. Tak akan dilupakan! Risau juga kalau mabuk laut. Tak disangka saya okay dan setiap kali pancing kail disambut ikan, saya menjerit gembira. Bagai kera dapat bunga! Begitulah perumpamaannya perkara-perkara kecil yang membahagiakan saya. Empat jam kemudian, kami kembali ke darat bersama hasil tangkapan untuk bbq makan malam. Mudah bukan hidup di pulau ?

Pada sebelah malam, pada hujung minggu pengunjung pulau dapat menyaksikan persembahan api. Selesai persembahan saya pulang ke kem dan ada beberapa anak muda sedang busking di tepi pantai. Saya ambil keputusan untuk turut serta bersama mereka. Malam saya juga meriah dengan perkongsian dari kawan-kawan baru tentang kehidupan. Life experience sharing.  Tentang bagaimana hal-hal kecil yang menyenangkan dan memenuhi hati dengan rasa bersyukur.

Empat hari memang langsung tak terasa. Long Beach saya rasa semua orang maklum memang hidup dan happening dibandingkan dengan pulau-pulau lain di Perhentian. Ia lebih kepada jiwa anak-anak muda yang mahukan hiburan hujung minggu. Di sini juga terdapat beberapa dive center yang dikhabarkan jauh lebih murah dari pulau-pulau lain. Hari terakhir saya pulang ke darat dengan bot awal 8 pagi. Berat kaki melangkah pergi tapi saya pasti kembali lagi.

Setiap perjalanan pasti punya cerita berbeza. Terima kasih Long Beach dan seisinya, untuk kesudian menjadi teman di perjalanan dan keserasian berbalas senyuman.

Penulisan oleh Aiena Omar

Next Post

AirAsia Kenakan Caj Untuk Daftar Masuk Di Kaunter

AirAsia mengumumkan caj daftar masuk melalui kaunter dikenakan di beberapa lapangan terbang terpilih sebanyak RM20 seorang untuk penerbangan domestik dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa. Bagaimanapun, tiada bayaran akan dikenakan bagi pelanggan yang mendaftar masuk melalui kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih atau laman web AirAsia. Antara lapangan […]
Solo?Apa ada hal! Wanita Ini Kongsi Pengalaman Solo Trip Ke Dua Pulau Popular Di Terengganu. 2