Dana Pinjaman Untuk AirAsia Berbanding Malaysia Airlines

AirAsia juga telah mengumumkan mendapat pinjaman daripada Sabah Development Bank Bhd (SDB) bernilai RM300 juta.Perkara ini disahkan oleh CEO AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Penganalis menganggap pinjaman terbabit adalah dianggap sangat penting bagi AirAsia, untuk digunakan bagi pembayaran pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja seperti untuk membayar gaji pekerja serta operasi pesawatnya.

“Pinjaman ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan modal oleh kumpulan AirAsia, yang bergerak ke arah yang benar dan kami senang dengan kemajuan itu,” katanya ketika dihubungi New Straits Times (NST).

Kumpulan itu, yang dikendalikan oleh CEO Tony Fernandes, telah memotong lebih dari 10% tenaga kerja dan merancang untuk mengecilkan armada pesawatnya bagi membolehkan syarikat terbabit mempunyai dana yang cukup untuk kekal beroperasi.

Selain daripada itu, AirAsia juga ditawarkan RM4.15 billion melalui pertukaran data pelanggan. Perkara ini diumumkan sendiri oleh CEO AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Namun tawaran yang berbentuk kerjasama perniagaan itu ditolak kerana mengganggap ianya melanggar kepentingan menjaga privasi pelanggan AirAsia sejak mulai beroperasi.

Malah AirAsia sendiri sudahpun mempunyai aplikasi yang bukan sahaja menawarkan servis tempahan tiket malah pelbagai lagi servis lain termasuk tempahan hotel, makanan dan sebagainya. Ini juga dilihat salah satu strategi AirAsia untuk kekal kompetitif diwaktu pandemik COVID-19 ini.

Dalam laporan sebelum ini, dilaporkan syarikat Kumpulan AirAsia telah mendapat dana pinjaman daripada kerajaan Malaysia bernilai RM1 bilion.

Pinjaman terbabit adalah 80% jaminan daripada Kementerian Kewangan Malaysia menerusi skim kerajaan bagi membantu syarikat yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 ini menurut sumber Nikkei Asia.

Related Post

Pinjaman terbabit kepada AirAsia akan dikeluarkan oleh institusi kewangan tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin 50 bilion, yang dikendalikan oleh Danajamin Nasional – penjamin kewangan milik kerajaan.

Namun, berita terbabit disangkal oleh Kementerian Kewangan Malaysia sendiri.

“Kami ingin menjelaskan bahawa pihaknya tidak meluluskan pembiayaan atau jaminan kerajaan kepada syarikat penerbangan mana pun,” jurucakap daripada Kementrian Kewangan Malaysia.

Kementerian Kewangan Malaysia juga telah menegaskan untuk tidak menyuntik lagi dana kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan melepaskan seluruh keputusan kepada Khazanah dalam menentukan masa depan syarikat penerbangan terbabit.

Seperti syarikat penerbangan yang lain, AirAsia turut dilanda kemerosotan perniagaan apabila tidak dapat melakukan penerbangan selepas pintu sempadan ditutup bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Dalam temu bual dengan Nikkei Asia pada bulan Julai, Fernandes mendedahkan bahawa syarikat penerbangan itu perlu mengumpul RM2 bilion dalam masa enam bulan akan datang untuk berada dalam kedudukan “sangat selesa”.

Untuk enam bulan pertama tahun ini, AirAsia melaporkan kerugian bersih 1.8 bilion ringgit berbanding keuntungan bersih 111.78 juta ringgit untuk tempoh yang sama pada tahun 2019. Pendapatan juga turun lebih separuh hingga 2.43 bilion ringgit daripada 5.65 bilion ringgit sebelumnya.

Sumber:
1. Nikkei
2. The Star
3. New Straits Times

This website uses cookies.