Akibat daripada penularan wabak COVID-19 ke serata dunia bermula pada Mac lalu, hampir semua pintu sempadan negara di dunia ditutup bagi mengekang penularannya.
Ini termasuk negara Arab Saudi yang menutup sempadannya kepada warga asing membuatkan ibadat umrah yang menjadi ibadat yang lazim di sana diterhadkan.
Ramai jemaah yang telah membuat persediaan awal terpaksa membatalkannya pada saat akhir terutamanya jemaah dari luar Arab Saudi termasuk Malaysia.
Mulai November ini, Arab Saudi akan membenarkan ibadat umrah kepada jemaah luar negara dan ianya terhad kepada umur 18 hingga 50 tahun sahaja.
Kementerian Haji dan Umrah turut menyatakan bahawa kementerian itu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar serta pihak berkuasa lain yang berkaitan dalam menentukan negara mana yang boleh menghantar jemaah dan kuota jemaah.
Namun begitu, peraturan baru diperkenalkan dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19 ketika ibadat umrah dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Antara peraturannya ialah
- Jemaah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu.
- Jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.
- Jemaah juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna.
- Setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan.
- Syarikat umrah perlu mengesahkan segala maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah dalam sistem umrah, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.
- Maklumat penginapan di Makkah dan Madinah perlu dilengkapkan.
- Jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan.
Sumber: Berita Harian