Persatuan Pelancong Langkawi Rayu PKPB Ditamatkan

Selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan dan sektor pelancongan dibuka, Langkawi mencatat kenaikan mendadak dalam tempahan hotel dan pakej percutian.

Namun selepas kerajaan memutuskan untuk kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sektor pelancongan di Langkawi kembali surut seperti di awal perlaksanaan PKP ekoran merentas negeri tidak dibenarkan.

Ekoran daripada itu, beberapa persatuan mewakili sektor perhotelan, perniagaan serta pemandu pelancong di Langkawi hari ini merayu kerajaan menamatkan pelaksanaan PKPB di Langkawi.

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah dan Perlis.

Turut sama membuat rayuan tersebut ialah Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi serta syarikat pengendali feri Konsortium Ferry Line Ventures.

Selain itu, kumpulan yang mewakili lebih 8,000 pekerja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sektor pelancongan ini mengharapkan kerajaan dapat membenarkan perjalanan antara kawasan hijau.

Tambahan lagi, pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor perhotelan, pertimbangan cukai tanah, moratorium menyeluruh dan bantuan kewangan kepada semua peniaga di Langkawi amat diharapkan agar dapat meneruskan perniagaan.

Sumber: Bernama