Servis Feri Ikonik Pulau Pinang Bakal Bersara Dan Digantikan Bot?

Klook.com

Jika berjalan-jalan ke Pulau Pinang, salah satu aktiviti wajib orang luar apabila ke sana adalah menaiki feri. Walaupun boleh menyeberang ke pulau dengan kereta oleh kerana adanya dua buah Jambatan, keinginan untuk menaiki feri tetap ada.

Servis feri ulang-alik daripada pulau ke seberang perai adalah sangat ikonik kerana servis terbabit telahpun beroperasi dari tahun 1894 sebelum terbinanya Jambatan Pulau Pinang. Namun, semakin banyak khabar berita servis ini bakal ditamatkan.

Terbaru, kerajaan persekutuan bercadang untuk menggantikan servis feri dengan bot katamaran. Ini kerana mengikut statistik hanya 200,000 kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri, sementara 1.2 juta adalah pejalan kaki menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Namun begitu, cadangan tersebut mendapat respon daripada Pengerusi Persatuan Kemajuan NUSA Pulau Pinang, Hazizi Padzil. Beliau berkata, kerajaan sebaliknya harus meningkatkan kualiti dan perkhidmatan feri yang ada.

Katanya lagi, amat menyedihkan sekiranya feri yang telah menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai sejak dari tahun 1894 ditamatkan begitu sahaja.

Klook.com

Pada masa ini, hanya dua feri yang digunakan untuk membawa semua pejalan kaki, motosikal, dan kereta. Dua feri terakhir dibina masing-masing pada tahun 1975 dan 1981. Menjelang akhir tahun 2020, perubahan besar akan dilakukan untuk perkhidmatan feri nostalgia ini. Berikut adalah peristiwa yang akan berlaku pada tahun-tahun mendatang:

1 Jan 2021 – 30 Jun 2022

  • Terminal Raja Tun Uda akan ditutup buat sementara waktu.
  • Operasi feri akan dipindahkan ke Swettenham Pier.
  • Perkhidmatan feri hanya akan tersedia untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

1 Julai 2022

  • Pembukaan Semula Terminal Raja Tun Uda.
  • Perkhidmatan feri akan tersedia untuk pejalan kaki, basikal, motosikal, dan kenderaan kecemasan.
  • Harga baru bakal diperkenalkan.

Diharapkan kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan semula keputusan ini kerana Pulau Pinang terkenal di seluruh dunia kerana perkhidmatan feri yang nostalgia dan bersejarah.

Sumber Rujukan:
New Straits Times
Sinar Harian